Ahad, 14 September 2008

PESANAN AL MARHUM USTAZ FADIL MOHD NOOR

Al-marhum Ustaz Fadzil Mohd Noor pernah mengajak rakyat memerangi KHURAFAT yang dibawa Umno di kalangan orang Melayu, iaitu dengan mendakwa hanya Umno boleh memerintah. Al-marhum sendiri yang menamakan dakwaan itu sebagai khurafat, iaitu amalan atau kefahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam. Khurafat besar itu berakar umbi dalam kefahaman orang Melayu sejak sekian lama.

Hasil penerangan bersungguh-sungguh dan penuh istiqamah pejuang PAS, khurafat itu makin hari makin terhakis. Hari ini sekurang-kurangnya enam buah negeri di Semenanjung pernah menolak fahaman khurafat tersebut. Setelah terbukti di depan mata bahawa Umno boleh untuk tidak jadi pemerintah, maka fahaman songsang itu tidak lagi dijaja di kalangan orang Melayu. Namun tidak bermakna usaha menyambung hayat kuasa melalui fahaman khurafat yang diterapkan di kalangan orang Melayu dihentikan. Mereka menukar pula fahaman yang ditolak tadi kepada kenyataan baru iaitu kuasa Melayu-Islam terhakis jika Umno hilang kuasa.

Selepas pilihan raya umum ke-12 Umno mencanangkan Melayu hilang kuasa di Selangor, Perak dan Pulau Pinang. Nasib Melayu dan Islam akan terancam. Negara dikejutkan dengan kenyataan seorang pemimpin Umno di Pulau Pinang, Ahmad Ismail yang mendakwa masyarakat Cina hanyalah penumpang di negara ini dan adalah mustahil untuk mereka mendapat hak yang sama dengan Bumiputera. Ucapan itu dibuat dalam siri kempen BN di Permatang Pauh.

Setelah disergah parti komponen BN dari kalangan Cina, Umno jadi gelabah dan Timbalan Presidennya, Najib Tun Razak sepantas kilat menuntut maaf kepada masyarakat Cina atas perlakuan yang bukan dilakukannya. Ahmad lalu menjelaskan bahawa apa yang disampaikan beliau adalah pernyataan di zaman British. Beliau hanya menyampaikan fakta sejarah, bukan berniat mahu memusuhi orang Cina. Soalnya mengapa kuliah sejarah itu diadakan sewatu berlangsung pilihanraya kecil Permatang Pauh, di hadapan pengundi Melayu? Bukankah kerana mahu memberitahu orang Melayu bahawa ketuanan serta hak istimewa mereka akan hilang jika mengangkat manusia bernama Anwar Ibrahim menjadi pemimpin lantaran beliau bersekongkol dengan DAP yang kononnya mahu mensaksamakan hak-hak rakyat jelata negara ini berasaskan Malaysian Malaysia?

Alangkah lebih baik jika Ahmad menjelaskan begitu dari berputar-belit ke hulu ke hilir menyalahkan wartawan kononnya menyalahtafsirkan kenyataannya. Isu besar yang diprojekkan ke benak pemikiran orang Melayu pasca-pilihanraya umum ke-12 ialah Melayu kehilangan kuasa politik, sekurang-kurangnya di tiga negeri, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Kehilangan kuasa Melayu, ditakrifkan Umno sebagai keadaan di mana Umno tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan.

PAS dan Melayu KeADILan tidak sempurna Melayunya. Umno sahaja barangkali yang lebih Melayu dari orang Melayu. Isu yang dibawa Umno selepas mereka hilang kuasa ialah isu berasaskan asobiyyah kaum. Sejak Umno hilang kuasa di lima negeri, isu-isu yang mereka ketengahkan sentiasa berbaur perkauman. Isu kandang khinzir, pemberian tanah kepada masyarakat bukan Melayu, pelajar bukan Melayu di UiTM, pemberian projek tidak berasaskan kronisme DEB adalah antara yang dimainkan Umno.

Persoalan besarnya ialah mengapa isu 'memperjuangkan' Melayu hanya bergegar selepas Umno hilang kuasa. Separuh abad Umno berkuasa di Pulau Pinang, masih terdapat orang Melayu yang merempat di pinggir bandaraya. Ahmad Ismail pun tentu menyaksikan sendiri satu demi satu tanah milik Melayu Pulau Pinang tergadai kepada orang lain. Tanah orang Melayu yang menguasai Balik Pulau 30 tahun dulu, sekarang apa dah jadi? Isu Melayu Pulau Pinang sudah jelak untuk diperkatakan. Semakin diulas semakin menyakitkan hati. Sepanjang separuh abad Umno-BN berkuasa di negeri itu, tidak ada satu hari di mana ekuiti orang Melayu bertambah dari sebelumnya (berbanding bukan Melayu) melainkan terus berkurang dan berkurang.

Umno ternyata gagal membangunkan Melayu sewaktu berkuasa. Mengapa sekarang, waktu hilang kuasa, baru terhegeh-hegeh nak perjuang hak Melayu yang terhakis? Semua tahu Pulau Pinang adalah negeri yang didominasi Gerakan. Penasihat Gerakan Tun Dr Lim Kheng Yaik sewaktu bersama Umno pun menyampah dengan gelagat parti itu. "Kami menghadapi Umno yang paling bongkak sekali ekoran keputusan pilihanraya 2004. Penyalahgunaan kuasa, rasuah, tender secara perundingan yang kebanyakannya diperolehi syarikat yang ada kaitannya dengan Umno," kata Lim Kheng Yaik dalam temubualnya dengan The Edge.

Paling menarik ialah pembongkaran beliau mengenai budaya politik wang Umno yang turut memberi kesan kepada parti komponen BN yang lain. "Semuanya wang, wang, wang dan wang," ujar Kheng Yaik. Amat memalukan apabila rakan bukan Melayu Umno yang mendedahkan perangai buruk mereka yang meletakkan duit sebagai mauduk perjuangan.

Jelaslah, dakwaan bahawa kuasa Melayu hilang ekoran kekalahan Umno adalah khurafat kedua yang mesti diperangi. Khurafat itu pula mereka peralatkan untuk menagih kuasa. Teruk benar Umno, bukan setakat 'sumpah' mereka peralatkan, 'khurafat' pun mahu diperalatkan.

Tiada ulasan: