Ahad, 14 September 2008

PESANAN AL MARHUM USTAZ FADIL MOHD NOOR

Al-marhum Ustaz Fadzil Mohd Noor pernah mengajak rakyat memerangi KHURAFAT yang dibawa Umno di kalangan orang Melayu, iaitu dengan mendakwa hanya Umno boleh memerintah. Al-marhum sendiri yang menamakan dakwaan itu sebagai khurafat, iaitu amalan atau kefahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam. Khurafat besar itu berakar umbi dalam kefahaman orang Melayu sejak sekian lama.

Hasil penerangan bersungguh-sungguh dan penuh istiqamah pejuang PAS, khurafat itu makin hari makin terhakis. Hari ini sekurang-kurangnya enam buah negeri di Semenanjung pernah menolak fahaman khurafat tersebut. Setelah terbukti di depan mata bahawa Umno boleh untuk tidak jadi pemerintah, maka fahaman songsang itu tidak lagi dijaja di kalangan orang Melayu. Namun tidak bermakna usaha menyambung hayat kuasa melalui fahaman khurafat yang diterapkan di kalangan orang Melayu dihentikan. Mereka menukar pula fahaman yang ditolak tadi kepada kenyataan baru iaitu kuasa Melayu-Islam terhakis jika Umno hilang kuasa.

Selepas pilihan raya umum ke-12 Umno mencanangkan Melayu hilang kuasa di Selangor, Perak dan Pulau Pinang. Nasib Melayu dan Islam akan terancam. Negara dikejutkan dengan kenyataan seorang pemimpin Umno di Pulau Pinang, Ahmad Ismail yang mendakwa masyarakat Cina hanyalah penumpang di negara ini dan adalah mustahil untuk mereka mendapat hak yang sama dengan Bumiputera. Ucapan itu dibuat dalam siri kempen BN di Permatang Pauh.

Setelah disergah parti komponen BN dari kalangan Cina, Umno jadi gelabah dan Timbalan Presidennya, Najib Tun Razak sepantas kilat menuntut maaf kepada masyarakat Cina atas perlakuan yang bukan dilakukannya. Ahmad lalu menjelaskan bahawa apa yang disampaikan beliau adalah pernyataan di zaman British. Beliau hanya menyampaikan fakta sejarah, bukan berniat mahu memusuhi orang Cina. Soalnya mengapa kuliah sejarah itu diadakan sewatu berlangsung pilihanraya kecil Permatang Pauh, di hadapan pengundi Melayu? Bukankah kerana mahu memberitahu orang Melayu bahawa ketuanan serta hak istimewa mereka akan hilang jika mengangkat manusia bernama Anwar Ibrahim menjadi pemimpin lantaran beliau bersekongkol dengan DAP yang kononnya mahu mensaksamakan hak-hak rakyat jelata negara ini berasaskan Malaysian Malaysia?

Alangkah lebih baik jika Ahmad menjelaskan begitu dari berputar-belit ke hulu ke hilir menyalahkan wartawan kononnya menyalahtafsirkan kenyataannya. Isu besar yang diprojekkan ke benak pemikiran orang Melayu pasca-pilihanraya umum ke-12 ialah Melayu kehilangan kuasa politik, sekurang-kurangnya di tiga negeri, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Kehilangan kuasa Melayu, ditakrifkan Umno sebagai keadaan di mana Umno tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan.

PAS dan Melayu KeADILan tidak sempurna Melayunya. Umno sahaja barangkali yang lebih Melayu dari orang Melayu. Isu yang dibawa Umno selepas mereka hilang kuasa ialah isu berasaskan asobiyyah kaum. Sejak Umno hilang kuasa di lima negeri, isu-isu yang mereka ketengahkan sentiasa berbaur perkauman. Isu kandang khinzir, pemberian tanah kepada masyarakat bukan Melayu, pelajar bukan Melayu di UiTM, pemberian projek tidak berasaskan kronisme DEB adalah antara yang dimainkan Umno.

Persoalan besarnya ialah mengapa isu 'memperjuangkan' Melayu hanya bergegar selepas Umno hilang kuasa. Separuh abad Umno berkuasa di Pulau Pinang, masih terdapat orang Melayu yang merempat di pinggir bandaraya. Ahmad Ismail pun tentu menyaksikan sendiri satu demi satu tanah milik Melayu Pulau Pinang tergadai kepada orang lain. Tanah orang Melayu yang menguasai Balik Pulau 30 tahun dulu, sekarang apa dah jadi? Isu Melayu Pulau Pinang sudah jelak untuk diperkatakan. Semakin diulas semakin menyakitkan hati. Sepanjang separuh abad Umno-BN berkuasa di negeri itu, tidak ada satu hari di mana ekuiti orang Melayu bertambah dari sebelumnya (berbanding bukan Melayu) melainkan terus berkurang dan berkurang.

Umno ternyata gagal membangunkan Melayu sewaktu berkuasa. Mengapa sekarang, waktu hilang kuasa, baru terhegeh-hegeh nak perjuang hak Melayu yang terhakis? Semua tahu Pulau Pinang adalah negeri yang didominasi Gerakan. Penasihat Gerakan Tun Dr Lim Kheng Yaik sewaktu bersama Umno pun menyampah dengan gelagat parti itu. "Kami menghadapi Umno yang paling bongkak sekali ekoran keputusan pilihanraya 2004. Penyalahgunaan kuasa, rasuah, tender secara perundingan yang kebanyakannya diperolehi syarikat yang ada kaitannya dengan Umno," kata Lim Kheng Yaik dalam temubualnya dengan The Edge.

Paling menarik ialah pembongkaran beliau mengenai budaya politik wang Umno yang turut memberi kesan kepada parti komponen BN yang lain. "Semuanya wang, wang, wang dan wang," ujar Kheng Yaik. Amat memalukan apabila rakan bukan Melayu Umno yang mendedahkan perangai buruk mereka yang meletakkan duit sebagai mauduk perjuangan.

Jelaslah, dakwaan bahawa kuasa Melayu hilang ekoran kekalahan Umno adalah khurafat kedua yang mesti diperangi. Khurafat itu pula mereka peralatkan untuk menagih kuasa. Teruk benar Umno, bukan setakat 'sumpah' mereka peralatkan, 'khurafat' pun mahu diperalatkan.

Khamis, 11 September 2008

LAPORAN AUDIT NEGARA DEDAHKAN KELEMAHAN BERBAGAI PERSOALAN

Analisis Audit dari Laporan Ketua Audit Negara berkaitan Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Terengganu Tahun 2007 telah menunjukkan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri adalah TIDAK MEMUASKAN.
Ia adalah kerana baki Akaun Hasil Yang Disatukan pada akhir tahun 2007 adalah DEFISIT RM278.42 juta berbanding lebihan berjumlah RM5.97 juta pada tahun 2006 iaitu menurun sejumlah RM284.39 juta. Laporan Ketua Audit Negara berkenaan juga menyebut, Kerajaan Negeri telah menggunakan sumber daripada Akaun Amanah Disatukan bagi menampung defisit tersebut.

Justeru, Ketua Audit Negara, Tan Seri Dato’ Setia Haji Ambrin Buang (Gambar) dalam laporan tersebut menyarankan agar tindakan wajar perlu diambil dengan mengamalkan perbelanjaan berhemat supaya keadaan ini (defisit) tidak berterusan diamalkan kerana tidak semua wang amanah itu merupakan aset Kerajaan Negeri. Sehubungan dengan itu, adalah amat mengejutkan, walaupun kerajaan negeri menerima terimaan bukan hasil melalui dana khas sebanyak lebih RM 1 bilion setiap tahun sejak 2005, hutang awam kerajaan negeri meningkat dan kini menghampiri angka RM 1 bilion.

Hutang tersebut telah meningkat sebanyak RM 34.82 juta dari RM 903.05 juta pada tahun 2006 kepada 937.87 juta pada tahun 2007. Oleh yang demikian, jumlah aset yang ditunjukkan di Penyata Akaun Memorandum yang terdiri daripada Pinjaman Boleh Dituntut, Pelaburan dan Tunggakan Hasil berjumlah RM489.16 juta, TIDAK MAMPU MENAMPUNG tanggungan yang merupakan hutang awam yang berjumlah RM937.87 juta. Kerajaan negeri juga disaran, bagi mengelakkan perkara tersebut berterusan, ia (Kerajaan Negeri) hendaklah merancang segala perbelanjaannya dan dilakukan secara berhemat tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan dan sumbangan kepada rakyat.Hutang Kerajaan Negeri

Hutang Kerajaan Negeri merupakan semua pinjaman yang diambil daripada Kerajaan Persekutuan untuk membiayai projek pembangunan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri. Pada akhir tahun 2007, baki hutang Kerajaan Negeri adalah berjumlah RM937.87 juta berbanding RM903.05 juta pada tahun 2006 iaitu meningkat sejumlah RM34.82 juta atau 3.9%. Peningkatan hutang ini adalah disebabkan pinjaman baru yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM49.14 juta pada tahun 2007 bagi membiayai Projek Bekalan Air.
Tunggakan bayaran balik pinjaman termasuk faedah pada tahun 2007 telah meningkat menjadi RM374.74 juta berbanding RM335.29 juta pada tahun 2006 iaitu meningkat sejumlah RM39.45 juta atau 11.8%. Pada tahun 2007, Kerajaan Negeri telah menjelaskan hutang kepada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM14.32 juta"

Selasa, 9 September 2008

PERUTUSAN RASMI SEMPENA KEMERDEKAAN NEGARA KE 51

Alhamdulillah
negara kita Malaysia akan merayakan ulangtahun kemerdekaannya yang ke-51 pada 31 Ogos 2008 ini.
Penambahan usia negara kita ini seharusnya tidak melupakan kita kepada jasa dan pengorbanan mereka yang terdahulu yang telah bertungkus-lumus berkorban dan berjuang bagi memerdekakan tanah air yang tercinta ini dari belenggu penjajah.

Menurut lipatan sejarah PAS sendiri telah terlibat dalam menyumbang terhadap kemerdekaan negara kita sejak dari tarikh keramat penubuhannya pada tahun 1951, iaitu warisan dari perjuangan Hizbul Muslimin yang diharamkan British pada tahun 1948.

Malah tujuan penubuhan PAS itu sendiri adalah bagi memenuhi tuntutan melepaskan negara ini dari sebarang rupa dan bentuk penjajahan oleh kuasa bukan Islam sama ada dalam bentuk politik, ekonomi, sosial atau kebudayaan.

Kerana itu PAS telah terlibat secara aktif bersama parti-parti lain ketika itu bagi menuntut penjajah British untuk mengadakan pilihan raya umum sehingga terzahirnya pilihan raya umum persekutuan pada tahun 1955 dimana PAS telah mengambil bahagian dan memenangi satu kerusi.

Di ambang kemerdekaan ketika itu PAS juga turut mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Reid bagi menggubal perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.
Kerana itu PAS turut berbangga merayakan ulangtahun kemerdekaan ini sehinggakan perlembagaan PAS fasal 5(2) menyebut bahawa tujuan perjuangan PAS termasuklah mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Sepanjang 51 tahun usia kemerdekaan negara ini PAS telah terus gigih berjuang jatuh dan bangun mengisi kemerdekaan ini dengan Islam yang merupakan prinsip dan dasar perjuangannya.
PAS telah menyumbang dalam pembangunan negara melalui wakil-wakil rakyatnya serta kerajaan-kerajaan negeri yang dipimpinnya disamping yang ia turut serta terlibat di dalamnya.
Saya yakin dan percaya berteraskan dasar perjuangannya itu PAS akan terus berperanan di dalam negara Malaysia yang Merdeka dan berbilang kaum ini sehingga lahir di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang adil dan saksama yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dengan peraturan dan hukum yang diredhai Allah SWT.

Politik Islam yang luhur yang dibawa oleh PAS akan terus relevan kerana ianya keperluan manusia secara fitrah dan menepati obejektif peranan manusia yang dijadikan oleh Tuhan pencipta alam ini. Allah swt telah menetapkan beberapa prinsip yang menjadi landasan yang wajib ditaati oleh hamba ciptaanNya secara menyeluruh. Prinsip ini terkandung dalam surah an Nisa ayat ke 58-59:
"Sesungguhnya Allah memerintah supaya kamu menunaikan amanah kepada ahlinya dan apabila kamu menjalankan hukum di kalangan manusia hendaklah melaksanakan hukum itu dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat . Wahai orang-orang yamng beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan ulil amri (orang-orang yang mengendalikan urusan yang terdiri daripada pemimpin dan ulamak). maka jika sekiranya kamu bertelingkah dalam apa-apa perkara, hendaklah kamu kembalikan penyelesaiannya kepada Allah (al Quran) dan Rasul (as Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Itulah sebaik-baik dan lebih elok penyelesaiannya."
Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-51, "Perpaduan teras kejayaan" dengan izin Allah SWT.

Presiden PAS
YB. Dato' Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

TAZKIRAN USTAZ YUSOF EMBONG TIMBALAN PESURUHJAYA PAS PAHANG

Assalamu'alaikum.

Hari ini, hari Selasa 9hb September bersamaan 9 Ramadhan 1429H. Ertinya sudah hampir satu pertiga kita berpuasa.Amacam puasa? Bagus ke tak? Masih terus bersahur?Masih terus baca al-Quran?Masih terus bertahajjud?Masih terus bertarawih?ATAUSudah mulai longgar dan makin sikit amal kita?Sentiasalah kita bermuhasabah dan check diri kita masing-masing supaya terus berlaku peningkatan amal kita.Sekali-sekala buat penjajaran(alingment) dan peimbangan(balancing) barulah pacuan kereta Ramadhan berjalan lancar :)

JANGAN JEMU berdoa agar ALlah sentiasa memberi kekuatan kepada kita untuk beribadat dan melakukan amal-amal kebaikan termasuk kerja-kerja siasah, dakwah dan tarbiyah.Berdoalah............supaya jangan malas, lemah, kedekut dan pengecut.
اللهم إنى أعوذبك من العَجز والكَسل وأعوذبك من الجُبن والبُخل وأعوذبك من غلبة الدَّين وقَهر الرجال
“YA ALLAH AKU BERLINDUNG DENGAN ENGKAU DARIPADA LEMAH DAN MALAS, PENAKUT DAN KEDEKUT, DIBELENGGU HUTANG DAN LELAKI YANG MENINDAS”
"Ya ALlah! Tolonglah aku untuk berzikir(mengingatiMU), bersyukur kepadaMU dan sebaik-baik ibadat kepadaMU" .....matan Arab saya tengah search dalam laptop saya tapi tak jumpa lagi.

Tajuk akan datang berhubung cara mengelak daripada terkena 'buatan orang' dan sihir.

Sekian terima kasih.

TAZKIRAH USTAZ YUSOF EMBONG

Wajah Baru Malaysia

16 September 08 bakal mendatang 7 hari lagi lagi. Semua rakyat Malaysia yang cinta dan rindukan keamanan , keadilan , ketelusan , amanah dan segala sifat luhur pemimpin negara yang bakal memerintah menjadi harapan semua pihak.
Tamatnya kronisma , pupusnya prajudis dan prasangka , padamnya fitnah dan berkuburnya mereka yang tamak. Namun ia bukan satu yang percuma !!! Tapi pastinya menuntut satu pengobanan yang sangat besar !!! BERSEDIAKAH KITA SEMUA !!!

Ahli Parlimen BN Ke Taiwan

Pada 7 September 2008 yang lalu seramai 41 orang ahli Parlimen BN ke Taiwan atas tujuan belajar tentang teknologi pertanian yang diterokai Taiwan dianggap moden dan antara terbaik di dunia. Perseolannya kepada baru sekarang nak belajar ? Ada yang dah menang 3 penggal berturut-turut tapi sebelum ini tiada inisiatif BNBBC berusaha membuka peluang untuk MP Parlimen untuk belajar keluar negara ?